زميلي

Friday 22 April 2011

Mutiara Hati Jumaat: Mana yang Lebih Baik



” Dosa yang menerbitkan rasa hina dan bersalah di hadapan Allah lebih Dia sukai daripada ketaatan yang membawa kepada perasaan ujub di hadapanNya.
Kiranya kamu tidur sepanjang malam dan bangun dengan rasa penuh menyesal adalah lebih baik daripada kamu qiyam di malam hari dan bangun dengan rasa takjub pada diri sendiri.
Seorang yang ujub tidak diterima sebarang amalan.
Dan andainya kamu ketawa sambil mengaku kesalahanmu, adalah lebih baik daripada kamu menangis sambil mendakwa kebaikan dirimu.
Rintihan orang yang berdosa itu lebih disukai Allah daripada bunyi-bunyi orang bertasbih sambil memuji diri.
Barangkali melalui dosa itulah Allah berikan ubat yang dapat menghapuskan penyakit yang parah dalam dirimu yang langsung kamu tidak sedari.”
-Ibnu al-Qayyim, Tahzib Madaarij al-Salikin.
*****************
Perenggan pertama mutiara kata di atas pernah diucapkan oleh seorang sahabat saya di Amman, Jordan dulu. Namun pada masa itu, saya terlepas pandang dari bertanyakan rujukannya.
Sahabat saya itu sekarang mengajar di Sabah. Saya tidak dapat menghubunginya kerana tidak mempunyai nombor telefon.
Kata-kata itu terus bergema dan mengingatkan diri saya agar berada di kedudukan yang betul di sisi Allah- yakni kita hanya hamba.
Akhir-akhir ini, saya sering teringat kata-kata di atas dan mahu mencari sumbernya. Saya kurang pasti adakah ia hadis Nabi s.a.w atau athar sahabat atau kata-kata ulama’ dan hukama‘.
Suatu hari, jam 6.38pm bertarikh 15 April 2009 handphone saya berdering menandakansms masuk.
Saya membukanya dan mendapat mutiara kata di atas secara panjang lebar berserta rujukannya sekali dari seorang sahabat yang berada hampir dengan saya di Kota Bharu.
Alhamdulillah… subhanallah. Maha Kasihnya Allah. Maha Memahaminya Allah. Meskipun saya tidak pernah memohon agar diberi petunjuk sumber asal kata-kata itu…namun Dia mengetahui bisikan hati saya dan saya berkeluh kesah kerananya.
Jazakillah Yu (nama panggilan sahabat saya itu) dan segala puji bagiMu ya Allah. NikmatMu senantiasa melebihi dari apa yang kupinta namun sedikit sekali aku bersyukur padaMu.. Ya Allah.
Saya memang mempunyai niat berkongsi penawar jiwa di atas dengan pembaca blog saya. Namun selagi saya tidak menemui sumber asalnya, saya terpaksa menahan diri terlebih dahulu.
Untuk apa saya ceritakan latar penulisan entry ini?
Moga saudara pembaca yang mendapat manfaat dari perkongsian ini membanyakkan syukur kepada Allah.
Maha Baiknya Allah yang sentiasa mengingatkan kita dan memberi penawar kalbu agar diri kita bertambah bersih.
La hawla wa la quwwata illa billah al-’aliyyul azhim.

No comments:

Post a Comment